Search

Video tular pergaduhan di KDCA berpunca salah faham

June 3, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis sedang mengesan semua individu yang terbabit dalam insiden pergaduhan yang tular di media sosial dipercayai berlaku di kawasan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), sepanjang sambutan Pesta Kaamatan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu.

Menurutnya, pergaduhan itu bagaimanapun tidak membabitkan penggunaan sebarang senjata dan berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Beberapa individu sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti semua individu yang terbabit selain mengesan saksi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, rakaman video yang tular di media sosial turut diteliti bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

Terdahulu, beberapa klip video memaparkan pergaduhan sekumpulan individu di luar kawasan KDCA, Penampang, tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai.

Rakaman berkenaan menunjukkan beberapa individu bertumbuk dan bergelut sebelum keadaan berjaya dikawal oleh orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Sehubungan itu, Erwansyah menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta mengganggu ketenteraman awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X