Search

PGA Lahad Datu rampas lebih RM1 juta sepanjang Mei

June 3, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu merekodkan rampasan bernilai lebih RM1 juta menerusi 17 serbuan dan 27 laporan polis membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang Mei lalu.

Batalion 17 PGA Lahad Datu dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 26 individu ditahan sepanjang operasi dijalankan, membabitkan 24 lelaki dan dua wanita.

Daripada jumlah itu, 15 lelaki adalah warga tempatan manakala sembilan lelaki dan dua wanita lagi merupakan warga asing.

Menurut kenyataan itu, nilai keseluruhan rampasan sepanjang tempoh berkenaan dianggarkan RM1,038,100.95 melibatkan pelbagai jenis barangan termasuk minyak diesel subsidi, ketum, ubat batuk, dadah jenis syabu, ayam sabung baka Filipina, minyak masak bersubsidi, rokok seludup dan kenderaan.

Antara kejayaan yang direkodkan ialah tiga serbuan dijalankan Kompeni B menerusi Op Taring Esszone di kawasan Felda Sahabat dan Silabukan.

“Hasil serbuan itu, empat individu termasuk dua warga asing ditahan bersama rampasan empat kilogram serbuk ketum, 23 botol air ketum yang sudah diproses serta ubat batuk.

“Kes berkenaan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, dalam Op Tiris 4.0 dan Op Taring Bravo 1 pada 20 Mei lalu di Batu 9, Segama, pasukan Cawangan Risik PGA berjaya menahan sebuah lori yang membawa 12,000 liter minyak diesel subsidi tanpa permit sah dan dipercayai cuba diselewengkan.

Dalam serbuan berkenaan, dua lelaki tempatan turut ditahan sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Menurut kenyataan itu lagi, semua tangkapan dan rampasan sepanjang Mei lalu membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63, Enakmen Haiwan Sabah 2015, Akta Kastam 1967 dan Akta Senjata Api 1960.

Batalion 17 PGA Lahad Datu turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah yang membantu menjayakan operasi penguatkuasaan selain mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa. – Info X