PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Papar – Kota Kinabalu berhampiran Kampung Meruntum, Putatan, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa lelaki berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong paling kanan jalan.
“Pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut dan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pemandu serta seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, katanya siasatan lanjut mendapati kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan pemandunya kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kemalangan telah dibakar oleh individu yang masih belum dikenal pasti.
“Tindakan mengesan individu yang terlibat dalam kejadian membakar kenderaan berkenaan sedang dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8005133 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar mangsa atau lokasi kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga,” katanya. – Info X