Search

Video tular rosak papan tanda jalan, dua lelaki ditahan polis

February 4, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Perbuatan dua lelaki merosakkan papan tanda jalan di tepi Jalan Sinaron – Tongod, di sini, membawa padah apabila mereka akhirnya ditahan polis susulan rakaman video kejadian itu tular di media sosial.

Insiden yang berlaku lewat malam, pada 2 Februari itu dirakam oleh rakan mereka sendiri sebelum dimuat naik ke status WhatsApp dengan tetapan awam, sebelum disunting dan disebarkan semula di Facebook sehingga mengundang perhatian ramai serta mencetuskan kemarahan orang awam.

Bertindak pantas susulan penularan video berdurasi 22 saat itu, polis berjaya mengesan dan menahan dua lelaki tempatan berusia 17 dan 19 tahun di Kampung Sinaron.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penularan video berkenaan kira-kira jam 12.08 tengah malam, 2 Februari lalu.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu dan mendakwa perbuatan berkenaan dilakukan atas alasan bergurau, memandangkan mereka menyedari aksi tersebut sedang dirakam oleh rakan mereka di lokasi kejadian.

“Rakaman video itu pada awalnya dimuat naik ke status WhatsApp dengan tetapan awam sebelum disunting dan dimuat naik semula oleh individu tidak dikenali ke laman sosial Facebook sehingga menjadi tular,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan berkenaan, polis memperoleh perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap kedua-dua suspek bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan cara merosakkan dan menyebabkan kerugian ke atas harta benda milik Kerajaan Malaysia.

“Polis memandang serius sebarang perlakuan jenayah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta digalakkan menyalurkan maklumat yang boleh membantu siasatan kepada pihak polis,” katanya. – Info X