Search

Wanita ‘ambil angin’ di luar tingkat 10 bangunan hospital

December 24, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang wanita mendakwa ‘mengambil angin’ di tingkat 10 sebuah bangunan hospital swasta yang belum siap selepas diselamatkan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian di Jalan Damai, di sini, pada jam 4.40 petang tadi, operasi menyelamat wanita terbabit dilaksanakan selepas pengawal keselamatan hospital menyedari kehadirannya di bahagian luar tingkat 10 bangunan yang belum beroperasi itu.

Kehadirannya di bangunan itu menimbulkan andaian kemungkinan wanita berkenaan cuba membunuh diri sebelum usaha menyelamat dilaksanakan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.46 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota termasuk pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak lima kilometer dari balai bomba.

“Dilapor terdapat seorang wanita berada di luar bangunan sebuah hospital swasta di tingkat 10. Wanita telah masuk sendiri di bangunan dan disahkan selamat oleh pengawal keselamatan.

“Menurut temubual bersama wanita itu, dia tidak membuat cubaan bunuh diri sebaliknya hanya mengambil angin di luar bangunan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, wanita itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 5.36 petang,” katanya. – Info X