KUDAT: Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terperangkap dalam kereta terkunci bersebelahan BSN Pekan Kudat, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.29 petang mengenai kejadian itu.
“Seramai tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan setibanya di sana, seorang kanak-kanak terkunci dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia.
“Pasukan bomba bertindak membuka pintu kereta terkunci menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Seterusnya kanak-kanak terbabit kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 4.37 petang,” katanya.
Sepasukan anggota polis turut membantu mengeluarkan kanak-kanak terbabit. – Info X