Search

13 lelaki ditahan polis disyaki terbabit jenayah seksual dalam talian

December 24, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menahan seramai 13 lelaki warga tempatan yang disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Semua suspek berusia 20 hingga 74 tahun ditahan dalam serbuan di enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terangganu menerusi Operasi Bersepadu ‘Op Pedo’, semalam (23 Disember).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semua suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Hasil pemeriksaan terhadap peranti yang digunakan di premis kediaman semua suspek, telah menemui anggaran 40,000 CSAM dan bahan pornografi dewasa.

“Butiran peranti yang dirampas untuk siasatan lanjut iaitu tujuh unit set komputer, satu unit komputer riba, 11 unit telefon bimbit dan 16 unit modem dan router,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Razarudin berkata, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka atas kesalahan memiliki bahan CSAM di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Kesalahan memiliki Bahan Lucah di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan operasi bersepadu ‘Op Pedo’ semalam dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap suspek yang disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan CSAM.

“Objektif operasi bersepadu ini bertujuan menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak melibatkan aktiviti dalam talian khususnya di platform media sosial disamping memberi kesedaran kepada ibu bapa, masyarakat serta penyedia platform mengenai tanggungjawab melindungi dan menjaga keselamatan kanak-kanak.

“Orang ramai terutama golongan remaja dan kanak-kanak dinasihatkan agar meningkatkan kawalan kendiri, menjaga batas moral dan adab bersosial di dalam talian bagi mengelak diri daripada menjadi mangsa jenayah serta melaporkan sebarang penyalahgunaan rangkaian kepada pihak berkuasa.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang melakukan dan melibatkan diri dalam aktiviti jenayah,” tegasnya. – Info X