KOTA KINABALU: Bekas wartawan TV3, Elphege Godomon meninggal dunia selepas didapati tidak sedarkan diri di rumah keluarganya di Kampung Kionsom Lama, Kiulu, hari ini.
Pemergian Elphege, 53, disahkan abangnya, Ben yang sempat berbual buat kali terakhir bersamanya pada malam tadi.
“Dia tiba di rumah keluarga kami di Kampung Kionsom Lama, Kiulu, semalam. Perbualan terakhir saya bersamanya ialah pada 10.43 malam tadi.
“Ketika itu dia kelihatan baik, malah menyatakan keluhannya mengenai masalah internet yang lemah, tapi pagi ini dia ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu kami,” katanya memetik laporan NST.
Mendiang sebelum ini pernah menjadi koresponden TV3 bagi Sabah dan Sarawak dengan pengalaman kerja lebih 20 tahun selepas menyertai stesen penyiaran itu pada 1994.
Sepanjang kariernya, Elphege membuat pelbagai liputan antaranya tragedi Ribut Tropika Greg pada 1996, kes penculikan di Pulau Sipadan dan Pandanan, pencerobohan pengganas Sulu dan pelbagai peristiwa penting di Sabah.
Mendiang juga adalah Ketua Editor Nabalu News, sebuah portal berita tempatan.
Beliau meninggalkan dua anak masing-masing berumur 17 dan 19 tahun, manakala isterinya meninggal dunia pada 2016. – Info X