KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai iklan di media sosial.
Kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat telah menjadi pencetus kepada kewujudan iklan-iklan yang memaparkan suara, wajah serta video individu-individu ternama (tanpa kebenaran individu terbabit) dengan tujuan untuk mengelirukan pembeli.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Mohamed Yoosuf berkata, terbaru pihaknya menerima maklumat mengenai kewujudan akaun TikTok ‘Malaysia Shopping Mall’ yang didapati mempromosikan produk perubatan menggunakan suara dan video Prof Datuk Dr Noordin Darus.
“Seorang pakar perubatan terkenal penggunaan suara dan video ini bagaimanapun telah dilakukan tanpa kebenaran pakar perubatan tersebut dan dipercayai dilakukan menggunakan teknologi AI,” katanya dalam kenyataan media, hari ini
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terhadap promosi produk kesihatan yang mencurigakan serta tidak jelas sumbernya.
Katanya, ini kerana dikhuatiri produk Kesihatan yang dijual adalah palsu dan boleh mendatangkan mudarat kepada penggunanya. – Info X