Search

Wanita dikerat tujuh bahagian, anggota tubuh dibuang di beberapa lokasi

February 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang wanita dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam berikutan penemuan mayatnya yang terpisah kepada tujuh bahagian dipercayai dipotong menggunakan senjata tajam.

Lebih memilukan, bahagian anggota badan mangsa yang dikerat dibuang di beberapa tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, di sini, hari ini.

Mangsa dipercayai dikerat pada bahagian leher, badan, punggung, kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki, sebelum anggota tubuhnya dimasukkan ke dalam plastik sampah dan dibuang berasingan.

Kejadian terbongkar kira-kira jam 6.30 pagi apabila seorang pekerja lori sampah yang sedang menjalankan tugas rutin terkejut selepas satu anggota tangan manusia terjatuh dari tong sampah ketika dimasukkan ke dalam lori.

Pemeriksaan lanjut menemukan satu lagi anggota badan iaitu kaki dalam tong sampah sama, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Pasukan forensik menjalankan siasatan di lokasi penemuan kepala dan badan mangsa di tempat pembuangan sampah berhampiran Pasaraya Bataras, Indah Permai, tidak jauh dari lokasi penemuan pertama iaitu tangan dan kaki mangsa.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Kota Kinabalu bersama pekerja lori sampah kemudian menjalankan pencarian lanjut termasuk menyelongkar semula sampah di dalam lori serta memeriksa lokasi pembuangan sampah berhampiran.

Turut berada di lokasi, bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Unit Anjing Pengesan (K9) IPK Sabah.

Pada jam 11.40 pagi, hari sama, kepala dan badan mangsa ditemui di satu lagi tempat pembuangan sampah berhampiran Pasaraya Bataras Indah Permai.

Bagaimanapun, setakat tengah hari tadi, dua lagi anggota tubuh mangsa iaitu tangan kanan dan kaki kiri masih belum ditemui dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Pasukan dari Unit K9 menjalankan siasatan di lokasi penemuan bagi mencari kemungkinan serpihan anggota tubuh lain.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian itu kira-kira jam 8 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai Indah Permai.

“Semua bahagian yang dijumpai dipercayai milik mangsa sama. Identiti mangsa setakat ini masih belum dapat dipastikan dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti identiti serta mengesan waris terdekat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan forensik IPK Sabah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian penemuan dua anggota tubuh manusia di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar, Kota Kinabalu.

Menurutnya, pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Forensik HQE I serta K9 turut menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi bagi tujuan pengumpulan bahan bukti dan membantu siasatan.

“Berdasarkan pemerhatian awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuhnya dibuang di kawasan rumah kedai berkenaan.

“Siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian, modus operandi kejadian serta individu yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I dan bedah siasat dijadualkan dijalankan pada 13 Februari 2026 jam 8.30 pagi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superientendan Polis (ASP) Rahman di talian 012-3106882 atau IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222.

“Segala maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan. PDRM memandang serius kejadian ini dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – Info X