Search

Wanita dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus deras

July 1, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang wanita dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras ketika mengharungi banjir selepas menghantar makanan kepada mangsa terperangkap banjir, dekat pekan Donggongon, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.40 pagi itu, mangsa bersama suaminya dikatakan pergi menghantar makanan kepada mangsa lain yang terperangkap akibat banjir sebelum pulang.

Bagaimanapun, difahamkan ketika cuba melalui kawasan banjir berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass, di sini, mangsa dikatakan dihanyutkan arus deras.

Suaminya cuba membantu dengan menarik tangan mangsa, namun tarikan arus banjir yang sangat kuat menyebabkan mangsa terlepas sebelum hanyut dan pencarian masih dijalankan oleh anggota penyelamat sehingga pagi ini.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 1.45 pagi tadi.

Sementara itu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, seramai 78 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan akibat banjir di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang setakat jam 4 subuh tadi.

Jumlah mangsa dijangka meningkat berikutan masih ada mangsa dilapor terperangkap dan tidak dapat dibawa keluar malam tadi akibat arus deras, selain keadaan gelap yang menyukarkan operasi.

Difahamkan, lebih 20 kampung di sekitar daerah ini dilanda banjir, termasuk sebhagian pekan Donggongon, di sini akibat limpahan air Sungai Moyog berikutan bacaan air yang melebihi sembilan meter, iaitu melepasi paras bahaya.

Banjir turut menjejaskan beberapa laluan utama di sekitar daerah ini dengan sekurang-kurangnya 10 lokasi termasuk di Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.

Selain banjir, beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku termasuk di laluan utama Jalan Penampang-Tambunan yang menyebabkan lalu lintas dari kedua-dua arah tidak dapat melaluinya.

Laporan beberapa pengguna jalan raya awal pagi tadi memaklumkan satu runtuhan tanah di antara Kampung Moyog dan Togudon, di sini, menyebabkan Jalan Penampang-Tambunan putus dan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.

Laluan alternatif bagi pengguna jalan raya dari kedua-dua arah ialah Jalan Ranau-Tambunan atau Jalan Kimanis-Keningau. – Info X