KOTA KINABALU: Seorang penumpang wanita maut selepas kenderaan dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Lintas Kepayan, berhampiran OUM, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 50-an disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah kenderaan jenis Isuzu D Max dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an, datang dari arah Jalan Lintas.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, telah membuat pusingan ‘U’ dengan tidak memastikan dalam keadaan yang selamat lalu berlanggar dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an.
“Kenderaan SUV datang dari arah jalan lurus (KKIA menuju ke Lido) dan telah menyebabkan kemalangan itu berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, seorang penumpang wanita di SUV Toyota Fortuner disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HQE.
“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan itu berlaku disebabkan oleh pemandu Isuzu D Max yang membuat pusingan ‘U’ dalam keadaan yang tidak berhati-hati sehingga menyebabkan kemalangan itu berlaku.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu kenderaan dengan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Sementara itu, Kasim menasihati orang ramai supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan SUV berkenaan. – Info X