KOTA KINABALU: Seorang pembonceng wanita maut apabila motosikal ditunggang suaminya terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Pulutan, Manggatal, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.25 pagi itu, mangsa Fifiana Majunti, 34, disahkan meninggal dunia di Hospital Likas pada hari yang sama jam 10.10 pagi.
Suaminya berusia 29 tahun yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal, lori dan Toyota Hilux.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, pemandu lori lelaki berusia 47 tahun dari arah Kampung Pulutan dalam perjalanan menuju ke sebuah bengkel.
“Sebaik tiba di hadapan bengkel itu, ketika hendak memasuki simpang kanan, tiba-tiba sebuah motosikal dinaiki pasangan suami isteri yang datang dari arah belakang disyaki memotong di kawasan persimpangan berkenaan menyebabkan berlaku perlanggaran di bahagian depan sebelah kanan lori.
“Akibat impak perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng terbabas ke kanan lalu terlanggar bahagian belakang yang ketika itu berada dibahu kanan jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, penunggang motosikal dibawa ke HQE I manakala pembonceng dihantar ke Hospital Likas oleh ambulans untuk rawatan lanjut.

“Pada jam 10.10 pagi hari yang sama, pembonceng disahkan meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala.
“Penunggang motosikal cedera ringan dan masih menerima rawatan di HQE I manakala kedua-dua pemandu lori dan Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambah beliau lagi, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Info X