Search

Warga emas ditemukan lemas, jala tersangkut pada badan

October 13, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas yang keluar dari rumah untuk menjala ikan ditemukan meninggal dunia dengan jala tersangkut pada badannya di sungai Kampung Rajunah, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 70 tahun ditemukan orang awam kira-kira jam 7.30 pagi selepas dilaporkan hilang sejak petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 10.54 malam tadi berhubung kehilangan mangsa.

Katanya, berdasarkan maklumat ahli keluarga, mangsa keluar dari rumah kira-kira jam 5.30 petang semalam dengan membawa jala untuk menangkap ikan di sungai berhampiran.

“Sepasukan lapan anggota bomba digerakkan ke lokasi sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sepanjang tebing sungai.

“Bagaimanapun, operasi pencarian terpaksa ditangguhkan pada jam 12.20 tengah malam berikutan keadaan gelap selain tiada sebarang petunjuk ditemukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elge berkata, ketika pasukan bomba tiba semula di lokasi pagi tadi, pihaknya dimaklumkan mangsa sudah ditemukan orang awam.

“Ketika ditemukan, terdapat jala ikan tersangkut pada badan mangsa dan dia dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti menjala ikan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi yang turut disertai dua anggota polis itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.45 pagi. – Info X