SANDAKAN: Lelaki warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Batu 3, Jalan Utara di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 89 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy a/l Kuppan berkata, ketika kejadian mangsa yang merupakan warga tempatan dipercayai sedang melintas dari kanan ke kiri jalan.
Katanya, siasatan awal mendapati, pemandu kereta jenis Perodua Axia yang dalam perjalanan dari Bandar Prima ke pusat bandar Sandakan tidak sempat mengelak mangsa kerana jarak yang terlalu dekat sewaktu tiba di lokasi kejadian.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Sandakan untuk menerima rawatan kecemasan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Zon Merah hospital berkenan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melintas jalan, terutama di kawasan yang sibuk dan tidak mempunyai lintasan pejalan kaki yang khusus,” katanya. – Info X