Search

Warga emas maut, kereta terbabas langgar tiang tanda jalan

February 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar tiang tanda jalan di susur Flyover Karamunsing, Jalan Kemajuan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 77 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kereta berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari arah Imago menuju ke Luyang Perdana sebelum hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga yang dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar tiang penanda jalan di susur berkenaan.

Anggota polis mengeluarkan mangsa dari kenderaan dipandunya selepas terbabas dan melanggar tiang tanda jalan di Flyover Karamunsing, Jalan Kemajuan, Kota Kinabalu.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HQE I untuk tindakan lanjut termasuk bedah siasat.

“Kenderaan terbabit ditahan bagi tujuan pemeriksaan teknikal dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu secara berhemah dan berhati-hati terutama ketika cuaca hujan atau keadaan jalan basah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529222 bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X