SANDAKAN: Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya parah selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Labuk, Batu 9, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa, Ranchanna Hujang, 55, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sandakan akibat kecederaan dalaman.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori Nissan UD, Proton Iriz dan Toyota Avanza.

“Siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 35 tahun dari arah Batu 8 menuju ke Batu 32.
“Apabila tiba di lokasi berhampiran bulatan, pemandu dipercayai cuba memberhentikan kenderaan namun gagal sebelum merempuh bahagian belakang Proton Iriz,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, lori berkenaan memasuki laluan kanan dan melanggar Toyota Avanza yang berada di dalam bulatan.

Beliau berkata, pemandu Toyota Avanza disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Sandakan pada jam 3 petang ketika menerima rawatan.
“Anak mangsa berusia 17 tahun yang berada di tempat duduk hadapan mengalami patah bahu kiri dan sedang menerima rawatan.
“Pemandu lori serta pemandu Proton Iriz tidak mengalami kecederaan, manakala dua lagi penumpang Proton Iriz hanya cedera ringan,” katanya.
Katanya lagi, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sandakan untuk bedah siasat yang dijadualkan hari ini.
“Pemandu lori berkenaan sudah ditahan dan akan direman untuk membantu siasatan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X