Search

Remaja 14 tahun dikhuatiri lemas ketika cari ketam

February 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika menjalankan aktiviti mencari ketam di Sungai Darau, Menggatal, di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Ifran Abdullah, 14, dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan operasi menempuh perjalanan sejauh lapan kilometer ke lokasi kejadian termasuk berjalan kaki kira-kira empat kilometer kerana kawasan berkenaan tidak boleh dilalui kenderaan.

“Menurut saksi yang juga abang mangsa, remaja terbabit tidak boleh berenang dan dipercayai lemas ketika cuba menyeberangi sungai.

“Pasukan bomba terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira empat kilometer kerana lokasi kejadian tidak boleh dilalui kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sherriyana berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah surface water rescue dengan bantuan bot milik penduduk kampung.

“Seramai 18 anggota membabitkan BBP Lintas dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon 1 digerakkan dalam operasi berkenaan dengan bantuan dua anggota polis.

“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa. – Info X