Search

‘Pilihan raya’ JKKK di Kadamaian lancar, 31 kampung selesai – Ewon

February 11, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Sebanyak 31 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian selesai mengadakan ‘pilihan raya’ atau pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setakat Rabu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata hanya 25 kampung belum melaksanakan pemilihan, manakala dua kampung menangguhkan proses itu berikutan ada musibah.

Bagaimanapun, katanya sebanyak 17 kampung tiada pemilihan berikutan hanya seorang mencalonkan diri dengan keseluruhan proses pemilihan berjalan dengan teratur dan lancar.

Beliau berkata, pemilihan peringkat kampung itu diadakan sejajar komitmennya selepas mendapat mandat baharu di Kadamaian pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) November lalu bagi memberi peluang kepada penduduk memilih sendiri Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung mereka.

“Selepas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dilantik, saya mengarahkan supaya proses pemilihan Pengerusi JKKK dilaksanakan secara menyeluruh bermula dari pencalonan hingga pembuangan undi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, berkata UPPM Kadamaian bertindak sebagai urusetia pemilihan bagi proses itu yang bermula pada 6 Februari lalu dan dijadualkan berakhir pada 21 Februari ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada PPM Kadamaian, seluruh urusetia UPPM dan penduduk kampung yang terlibat atas kerjasama dan mengambil bahagian dalam proses demokrasi di peringkat akar umbi.

“Dalam masa terdekat, Ketua Daerah, Ketua-Ketua Anak Negeri dan Wakil-Wakil Ketua Anak Negeri DUN Kadamaian yang baharu akan menerima watikah pelantikan sebelum mengendalikan pemilihan Ketua Kampung di semua kampung di kawasan ini,” katanya.

Ewon berkata, selain Kadamaian, wakil rakyat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di Tamparuli dan Moyog juga melaksanakan pemilihan Pengerusi JKKK.

Katanya, inisiatif itu adalah sumbangan UPKO dalam memperkukuh proses dan amalan demokrasi di peringkat kampung, selaras dengan komitmen yang dibuat pada kempen pilihan raya lalu.

“Ini adalah sebahagian daripada semangat Sabah First yang terus kami perjuangkan demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Info X