Search

20 PATI termasuk kanak-kanak ditahan di Labuan

February 11, 2026

Info X Reporters

LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk kanak-kanak dalam operasi penguatkuasaan di sekitar wilayah ini, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula jam 12.30 tengah malam hingga 2.30 pagi itu dijalankan hasil maklumat awam serta risikan Unit Aduan, Risikan dan Operasi Bahagian Penguat Kuasa jabatan berkenaan.

Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Labuan, Raymond Entalai berkata, seramai 22 pegawai digerakkan ke empat lokasi penempatan bagi menjalankan pemeriksaan terhadap 46 individu.

“Hasil pemeriksaan mendapati 20 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“PATI yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, tujuh kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki, semuanya warga Filipina berusia antara empat bulan hingga 59 tahun.

“Selain itu, dua notis saman turut dikeluarkan kepada saksi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguat Kuasa JIM WP Labuan bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Sepanjang operasi dijalankan, keadaan terkawal dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, katanya operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindah warga asing yang melanggar undang-undang termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehadiran PATI diminta menyalurkan maklumat kepada pihak Imigresen bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya. – Info X