Search

Warga emas rentung rumah terbakar

September 26, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Babagon, di sini, pagi tadi.

Mangsa Liew Ah Ngou, 68, yang tinggal bersendirian menghidap strok ditemui selepas api berjaya dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.07 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian sejauh 11.3 kilometer menggunakan sebuah jentera.

Pasukan bomba dan polis menjalankan siasatan di lokasi kebakaran di Kampung Babagon, Penampang. – Foto/Bomba

“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati tiada laluan untuk jentera bomba masuk.

“Pasukan operasi terpaksa berjalan kaki melalui jambatan gantung untuk menyeberangi sungai ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zeno berkata, operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 121 meter dari sumber air dari tangki jentera bomba.

Katanya, terdapat seorang lelaki ditemui rentung dan mayat mangsa terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Foto/Bomba

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai tinggal bersendirian dan mengalami masalah kesihatan akibat serangan angin ahmar.

“Api berjaya dikawal pada jam 10.10 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.30 pagi selepas pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tiada sebarang kemerbahayaan lain wujud di lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak mengesan sebarang unsur jenayah.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dengan kerjasama JBPM dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – Info X