KOTA KINABALU: Kegagalan Kementerian Pengangkutan (MOT) membalas surat berkaitan pampasan dan penjelasan lanjut berhubung laporan tragedi itu yang dinyahklasifikasikan pada 12 April tahun lalu megecewakan waris keluarga mangsa.
Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin yang mewakili keluarga mangsa, berkata sehingga kini dua surat sudah dihantar kepada kementerian berkenaan iaitu pada Januari dan April lalu.
Jelasnya, sepanjang enam bulan lalu tiada sebarang jawapan atau memo daripada MOT mengenai surat yang dikemukakan selepas mereka mengkaji laporan siasatan nahas pesawat GAF Nomad yang terhempas di pantai Kampung Sembulan, di sini, pada 6 Jun 1976.

“Bagi pihak keluarga mangsa, saya menyatakan bahawa kami kecewa kerana dalam tempoh enam bulan lalu kita tidak menerima sebarang memo atau surat rasmi, termasuk menyatakan yang surat kami sudah diterima atau sedang diteliti. Kami tidak kisah apapun yang mereka putuskan,” katanya.
Beliau ditemui pada Upacara Memperingati Tragedi Double Six di Tugu Peringatan Double Six, anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sempena 48 tahun nahas itu, di Sembulan, di sini.
Majlis itu yang dihadiri beberapa waris keluarga mangsa dan pemimpin negeri disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Semalam, Donald bersama dua waris mangsa, Faridah Stephen dan Kartina Sulong mengeluarkan kenyataan bersama mengenai hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang apabila surat permintaan mereka mendapatkan pampasan daripada kerajaan persekutuan tidak dibalas.
Menerusi kenyataan itu, mereka menjelaskan bahawa tindakan berkenaan dibuat dengan harapan penderitaan besar dialami mereka selama hampir lima dekad diakui oleh kerajaan persekutuan dan dapat diringankan.
Ia juga sebagai keadilan dan menutup kisah sedih waris mangsa setelah 47 tahun laporan berkenaan dirahsiakan sebelum dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum pada 12 April 2023.
Donald mewakili keluarga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Peter Mojuntin, manakala Faridah dan Kartina masing-masing mewakili keluarga bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen dan bekas Menteri Kewangan Sabah, Datuk Salleh Sulong.
Tiga pemimpin utama Sabah itu adalah antara 11 individu yang terkorban dalam nahas pada 6 Jun 1976 di Pantai Kampung Sembulan, di sini, ketika pesawat GAF Nomad 9M-ATZ buatan Australia dalam penerbangan dari Labuan sedang menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Donald berkata, selepas didedahkan, laporan nahas yang dikeluarkan kerajaan Malaysia dan kerajaan Australia itu mengundang persoalan mengenai alasan tindakan meletakkan laporan berkenaan di bawah Akta Rahsa Rasmi (OSA) selama 47 tahun.
“Laporan itu jelas, tapi yang tidak jelas sekarang dan apa yang tidak memuaskan hati kami ialah kenapa laporan itu diletak di bawah OSA sedangkan ia berkaitan kepentingan awam, orang mahu tahu apa berlaku kepada pemimpin mereka pada masa itu kerana mereka adalah sebahagian daripada Sabah yang ada pada hari ini,” katanya.
Katanya, laporan nahas pesawat itu jelas tidak menunjukkan ada unsur yang boleh mengancam keselamatan atau perpaduan negara dan ancaman lain yang boleh mengganggu ketenteraman negara.
Laporan dikeluarkan Malaysia dan Australia berhubung nahas pesawat terbabit antara lain mendedahkan bahawa pesawat itu terlebih muatan di bahagian belakang dan tiada unsur sabotaj atau kegagalan enjin. – Info X