TAWAU: Seorang lelaki warga emas maut dan putus kaki kanan selepas motosikal yang diboncengnya terbabit kemalangan di Kilometer 27 Jalan Tawau – Semporna, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.55 petang itu, mangsa berusia 70 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 40 tahun yang menunggang motosikal berkenaan parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan motosikal yang dinaiki mangsa dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
“Nahas dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa terbabit dari arah Inderasabah menuju ke Kampung Blok 31, sebelum dilanggar oleh MPV berkenaan.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan penunggang motosikal yang secara tiba-tiba mengubah haluan ke lorong kanan dan memasuki ke laluan MPV terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pembonceng motosikal parah dan putus kaki sebelah kanan, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggangnya pula parah di bahagian kepala.
“Pemandu kereta MPV berusia 45 tahun bersama penumpangnya pula tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X