KOTA KINABALU: Warisan hari ini mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan yang akan berlangsung pada 24 Januari depan.
Keputusan itu dikatakan sebagai langkah awal untuk memenangi beberapa lagi kerusi dalam beberapa bulan akan datang kerana mereka menjangkakan akan terdapat sekurang-kurangnya lima PRK susulan petisyen pilihan raya yang telah difailkan bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November tahun lalu.
Bekas Adun Sukau, Saddi Abdul Rahman, dinamakan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kinabatangan (P187), manakala Mazliwati Abdul Malik Chua akan bertanding di kerusi DUN Lamag.
Mazliwati sebelum ini pernah bertanding sebagai calon Warisan bagi kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Umum 2022 namun tewas kepada bekas Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Allahyarham Bung Moktar Radin.
Kedua-dua kerusi itu kosong susulan kematian Allahyarham Bung pada 5 Dis lalu.
Naib Presiden Warisan, Darell Leiking, berkata keputusan parti itu bertanding pada pilihan raya kecil itu bukan bermakna tidak menghormati jasa Allahyarham ketika menjadi wakil rakyat.
“Keputusan Warisan untuk bertanding bukanlah penafian terhadap sumbangan dan khidmat Bung, dan tentunya bukan satu bentuk tidak hormat terhadap beliau atau keluarganya.
“Ia lahir daripada kepercayaan bahawa mandat rakyat mesti diteruskan, dan tanggungjawab untuk mewakili rakyat hanya boleh dilaksanakan melalui proses yang sah dan berperlembagaan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan calon dalam sebuah majlis di Kinabatangan, pada Isnin.
Darell berkata Warisan bertanding pada pilihan raya kecil itu “bukan sahaja dengan hormat, tetapi juga dengan tanggungjawab”.
“Kami memasuki pilihan raya ini dengan penuh hormat, tetapi juga dengan mandat untuk mewakili rakyat dan menghormati demokrasi, di mana rakyat diberi hak untuk memilih,” katanya.
Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal dikatakan tidak hadir dalam majlis pegumuman berkenaan kerana sedang menunaikan ibadah Umrah.
Dalam pada itu Darrel menyifatkan PRK Kinabatangan sebagai titik permulaan bagi parti berasaskan Sabah itu.
“Kita mesti menang di Kinabatangan kerana di sinilah permulaan parti tempatan yang mewakili Sabah dan menyumbang kepada Malaysia bermula,” katanya. – Info X