Search

Wujudkan Majlis Seni Sabah dalam Belanjawan 2027 – Masiung

September 24, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan persatuan pengiat seni di Sabah meletakkan harapan supaya kerajaan negeri mewujudkan Majlis Seni Sabah bagi menaungi industri karyawan menerusi pembentangan Belanjawan Negeri pada Oktober depan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, persatuan dan kelab pengiat seni perlu ada satu agensi induk untuk menjalinkan kolaborasi strategik dengan kerajaan negeri.

“BBC melihat industri kreatif perlu diperkasa untuk membolehkan pemain dalam industri itu di Sabah mampu berdaya saing di lapangan arus perdana.

“BBC bersedia menjadi perantara berhubung hasrat beberapa persatuan dan kelab karyawan negeri ini yang mahukan kerajaan Sabah mewujudkan Majlis Seni Sabah,” katanya selepas menemui wakil lima persatuan pengiat seni di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.

Masiung berkata, beliau akan membawa draf cadangan itu pada Persidangan DUN Sabah yang dijangka dijadualkan antara Oktober dan November depan.

Katanya, cadangan merealisasikan Majlis Seni Sabah adalah wajar sebagai platform kepada persatuan-persatuan atau kelab pengiat seni di negeri ini menjalinkan hubungan dua hala dengan kerajaan negeri.

“Tanpa agensi induk yang menaungi persatuan terbabit sudah pasti menyukarkan kerajaan menyalurkan sebarang inisiatif atau suntikan dana,” katanya.

ADUN Kuamaut itu tidak menolak industri seni kreatif di Sabah kurang mendapat perhatian sebelum ini lebih-lebih lagi bidang itu sering tericir dalam pembentangan Belanjawan Negeri.

Atas sebab itu katanya, karyawan seni berasa kerjaya mereka dipinggirkan dalam arus perdana.

Masiung yakin kerajaan negeri pada hari ini akan mengambil perhatian sewajarnya sesuai dengan sumbangan mereka kepada masyarakat.

“Apabila wujud kolaborasi antara pengiat seni dan kerajaan pastinya kolompok itu boleh menjadi duta kepada program penting kerajaan.

“Penerbit filem tempatan, muzik, drama, pelakon, penggubah lagu dan artis mempunyai pengaruh merit dan sentuhan dinamik untuk menterjemah usaha kerajaan,” katanya.

Lebih dari itu katanya, pengiat seni mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyentuh emosi rakyat menerusi karya seni.

Delegasi lima wakil persatuan yang menemui Masiung semalam diketuai penghibur veteran Sabah, Datuk Francis Landong bersama wakil dari Persatuan Kreatif Sabah, Persatuan Artis Sabah, Persatuan Karyawan Sabah, Kelab Okestra Sabah, Persatuan Filem dan Visual Sabah dan Persatuan Komposer Penulis Lirik Sabah. – Info X