Search

KREATIF SABAH bawa aspirasi industri seni, kreatif kepada kerajaan negeri

September 24, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) membawa aspirasi dan kepentingan penggiat industri seni serta kreatif negeri dalam kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, baru-baru ini.

Kunjungan itu adalah yang pertama selepas KREATIF SABAH mengadakan Mesyuarat Agung Pertamanya pada Julai lalu, dengan tujuan memperkenalkan peranan pertubuhan berkenaan selain membincangkan perkembangan semasa dan hala tuju industri seni serta kreatif di Sabah.

Datuk Azrul mengucapkan tahniah dan syabas kepada KREATIF SABAH atas penubuhannya yang disifatkan bertepatan dengan keperluan semasa industri seni dan kreatif negeri.

Beliau berkata, penyatuan 11 persatuan berteraskan seni dan kreatif di bawah satu gabungan mampu mewujudkan saluran komunikasi lebih tersusun antara komuniti kreatif dengan Kerajaan Sabah.

Katanya, platform itu turut memudahkan kerajaan melaksanakan perancangan dan dasar berkaitan industri kreatif selain mendapatkan maklum balas lebih berkesan mengenai isu, keperluan dan kekangan yang dihadapi penggiat industri.

“Kerajaan Sabah melalui kementerian dan agensi berkaitan selama ini telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan, termasuk bantuan kewangan bagi menjayakan program dan aktiviti seni di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika menjawat jawatan sebagai Pengarah IKRAR Sabah, termasuk sokongan terhadap penganjuran aktiviti seni kreatif serta tayangan filem tempatan Sabah yang dibawa ke Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi KREATIF SABAH, Chester Pang, bersama empat anggota rombongan memberikan taklimat mengenai perkembangan industri seni dan kreatif negeri serta potensi ekonomi kreatif sebagai sektor yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.

Chester berkata, penubuhan KREATIF SABAH adalah usaha menyatukan persatuan seni dan kreatif di Sabah dalam satu platform bersama bagi memperkukuh suara industri serta menjadi penghubung dan pemudah cara antara komuniti penggiat seni, kerajaan dan sektor swasta.

“KREATIF SABAH tidak mengambil alih atau menggantikan peranan persatuan-persatuan sedia ada, sebaliknya menjadi platform bersama untuk membawa isu dan kepentingan yang melibatkan keseluruhan ekosistem industri seni dan kreatif Sabah,” katanya.

Beliau berkata, gabungan itu turut berhasrat membantu memperkukuh pelaksanaan dasar dan hala tuju Kerajaan Sabah dalam membangunkan ekonomi jingga (Orange Economy) sebagai sektor baharu yang berpotensi menjadi sumber pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan dan pendapatan lebih luas, khususnya kepada golongan belia.

Dalam pertemuan itu, Chester yang juga Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), menyerahkan Memorandum 7 Perkara Tuntutan KREATIF SABAH yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Pertama pertubuhan berkenaan untuk perhatian dan tindakan kerajaan.

Antara perkara utama dibangkitkan ialah penguatkuasaan permit penggambaran dan persembahan bagi produksi serta artis dari luar Sabah yang menjalankan aktiviti komersial di negeri ini.

Chester berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan aktiviti produksi dan persembahan dari luar dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, selain membantu melindungi kepentingan, peluang pekerjaan dan ruang pasaran kepada penggiat seni serta tenaga produksi tempatan.

KREATIF SABAH turut mencadangkan penubuhan Hab Kreatif atau Pusat Sehenti (One Stop Centre) bagi menyelaraskan proses permohonan permit, kelulusan dan urusan berkaitan aktiviti seni serta produksi di Sabah.

Cadangan itu dilihat mampu mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepatkan proses permohonan serta menyediakan saluran lebih jelas dan mesra industri kepada penggiat tempatan dan produksi dari luar Sabah.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung KREATIF SABAH, Mohd Nazri Saidali, mendapatkan pandangan Datuk Azrul mengenai cadangan penubuhan Akademi Nasyid Sabah bagi melatih, membimbing dan mempersiapkan generasi baharu penggiat seni Nasyid Sabah.

Nazri yang juga Presiden Persatuan Komposer, Penulis Lirik dan Artis Nasyid Sabah (KOPAN) berkata, akademi berkenaan berpotensi menjadi platform pembangunan bakat secara lebih tersusun, khususnya dalam aspek persembahan, penciptaan lagu, produksi, penjenamaan dan pemasaran.

“Kita mempunyai bakat dan karya Nasyid dari Sabah yang semakin mendapat perhatian di peringkat lebih luas. Apa yang diperlukan ialah pembangunan bakat yang lebih sistematik supaya para seniman bukan sahaja mampu menghasilkan karya berkualiti, tetapi juga mempunyai kemahiran persembahan, pemasaran dan pengurusan industri yang membolehkan mereka bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Pertemuan itu turut memperlihatkan komitmen KREATIF SABAH untuk terus menjalinkan kerjasama strategik dengan Kerajaan Sabah dan pihak berkepentingan bagi membangunkan ekosistem seni dan kreatif negeri yang lebih tersusun, berdaya saing serta mampu menjana nilai ekonomi.

KREATIF SABAH berharap hubungan strategik bersama Kerajaan Sabah dapat terus diperkukuh bagi memastikan suara, keperluan dan potensi industri seni serta kreatif diberi perhatian sewajarnya dalam agenda pembangunan ekonomi negeri.-Info X