KUALA LUMPUR: KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu yang memberikan kepercayaan dan penghormatan kepada Seri Paduka Baginda memikul amanah sebagai Ketua Negara.
Tuanku Sultan Ibrahim, bertitah Baginda akan melaksanakan tanggungjawab diberikan dengan jujur dan ikhlas, selain memerintah secara adil dan saksama serta penuh timbang rasa kepada semua rakyat jelata, demi menjaga kesejahteraan dan kedaulatan negara.

“Saya juga berharap kerajaan akan terus berusaha meringankan beban hidup rakyat dan membangunkan negara dengan lebih maju dan makmur,” titah Seri Paduka Baginda.
Tuanku Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah DiRaja bersempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, di Istana Negara, hari ini (20 Julai).
Berangkat sama, KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan di atas keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Tuanku Sultan Ibrahim juga menzahirkan penghargaan di atas keberangkatan Raja Bahrain Raja Hamad Bin Isa Bin Salman Al-Khalifa.
“Saya juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada semua Raja-Raja Melayu dan wakil-wakil Baginda yang berangkat pada hari ini,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda juga berdoa semoga negara akan terus maju dan makmur serta seluruh rakyat kekal hidup bersatu-padu, aman sentosa dan bahagia.
-Sumber Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar