KOTA BELUD: Seorang lelaki melalui detik cemas apabila dipercayai hampir 10 jam tersesat di dalam hutan di Kampung Dudar sebelum ditemui selamat awal pagi tadi.
Mangsa berusia 33 tahun itu dilaporkan masuk ke hutan berkenaan sekitar jam 4 petang semalam untuk melawat tanah pusaka dan hanya disedari hilang selepas gagal dihubungi oleh ahli keluarga.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.10 malam tadi sebelum seramai empat pegawai dan anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik gagal dihubungi, ahli keluarga bimbang mangsa tersesat di dalam hutan.
“Operasi mencari mangsa terus dijalankan oleh pasukan operasi bersama penduduk kampung.
“Selepas beberapa jam pencarian, mangsa akhirnya berjaya ditemui selamat kira-kira lima kilometer dari lokasi kenderaan mangsa diletakkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, mangsa terus diserahkan kepada ahli keluarganya sebaik dipastikan dalam keadaan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 1.50 pagi. – Info X