KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil 43 sampel pelbagai jenis sayur-sayuran membabitkan kawasan tanah tinggi di Kundasang, Ranau diambil berikutan disyaki mengandungi racun berkebihan.
Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, semua sampel berkenaan dikumpul pada operasi besar-besaran Ops Caras Hijau yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran dan Pejabat Kesihatan Ranau yang melibatkan seramai 30 anggota pada 5 Julai lalu.
“Antara sampel sayur-sayuran yang diambil termasuklah tomato, daun salad, cili merah dan lada benggala.
“Sampel sayuran ini adalah daripada sayur-sayuran yang dijual di 16 premis pemborong dan 19 premis peruncitan sayuran di Kundasang.
“Sayur-sayuran berkenaan menjadi keutamaan dalam persampelan ini disebabkan sering dikesan mengandungi paras residu racun perosak melebihi nilai standard yang dibenarkan dan sudah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNS untuk dianalisis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Rose Nani menyatakan objektif operasi berkenaan adalah untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada semua pihak dalam rantaian penjualan hasil pertanian agar tidak menggunakan racun perosak yang tidak dibenarkan atau melebihi nilai maximum residue limit (MRLS) yang dibenarkan di bawah keperluan perundangan sedia ada.
“Penggunaan racun perosak yang tidak terkawal adalah sangat merbahaya sehingga boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan pengguna.
“Ops Caras Hijau tertumpu kepada pemborong dan peruncit di sekitar Kundasang yang menjadi kawasan penanaman dan pengeluaran hasil pertanian utama di Sabah,” katanya. – Info X