KOTA MARUDU: Sederet 10 lot gerai termasuk gerai menjual aksesori pakaian musnah dalam kebakaran di Kampung Langkon, di sini, semalam.
Gerai menjual pakaian terpakai atau bundle dan jahitan turut terbakar dalam kejadian itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu jam 3.53 petang.
Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu digerakkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran membabitkan 10 lot gerai jenis kekal (setiap lot) terbakar 70 peratus.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran dua pancutan dari tangki jentera dan pili bomba berdekatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kebakaran dapat dikawal pada jam 4.37 petang dan operasi ditamatkan sejam kemudian.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X