Search

Kereta berat, rupanya lelaki terperosok bawah kereta

March 28, 2023

admin

TENOM: Rasa pelik seorang lelaki yang merasakan kenderaannya berat ketika menaiki bukit terjawab apabila menemui tubuh manusia terperosok di bawah kereta jenis Proton Gen2 dipandunya dalam kejadian di kilometer 9, Jalan Sapong – Kemabong, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam itu, mangsa berusia 55 tahun terbabit juga terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia selepas itu oleh pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu Proton Gen2 iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun dalam perjalanan menuju ke arah pekan Tenom daripada arah Kemabong.

Katanya, dalam masa sama, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Land Cruiser telah keluar dari keretanya dan berada di lorong sebelah kanan ketika menaiki bukit.

“Sebuah kenderaan (Proton Gen2) dari arah belakang telah memotong kenderaannya (mangsa) dan ketika itu juga keadaan jalan gelap.

“Pemandu Proton Gen2 terbabit kemudian merasakan telah terlanggar sesuatu objek (mangsa) menyebabkan keretanya menjadi berat semasa mendaki bukit.

“Selepas itu, pemandu berkenaan telah berhenti dan keluar dari keretanya untuk memeriksa seterusnya mendapati seorang lelaki terperosok di bawah kenderaannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasan berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian badan kemudian dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia di  tempat kejadian.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X