KUDAT: Tiga individu bertindak terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 6,000 liter petrol di perairan Kudat, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Hasbullah Omar berkata, bot pam terbabit dikesan hasil maklumat risikan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah ketika pasukan sedang melaksanakan operasi bersepadu di kawasan berkenaan.
“Sekitar jam 1 pagi, sebuah bot pam yang bergerak perlahan dan mencurigakan dikesan kira-kira 1.5 batu nautika dari Tanjung Kalutan, Pulau Balambangan, sebelum sebuah bot ronda diarahkan untuk pemeriksaan.
“Namun ketika bot ronda menghampiri, tiga individu di atas bot bertindak terjun ke laut cetek dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran bagi mengelak ditahan,” katanya.

Hasbullah berkata, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan itu menemukan 25 tong plastik berisi petrol dengan anggaran keseluruhan 6,000 liter, dipercayai dibawa tanpa permit sah dan disyaki untuk pasaran gelap atau diseludup ke negara jiran.
“Bot pam bersama muatan petrol yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM60,000 dan telah dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau turut menyeru orang ramai khususnya komuniti maritim agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi membantu mengekang kegiatan penyeludupan di perairan negara. – Info X