Search

Tiga lelaki ditahan kes rusuhan di carwash Tawau

January 6, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing kerana disyaki terbabit kes merusuh membabitkan serangan terhadap seorang pengawal keselamatan di sebuah premis mencuci kenderaan di Jalan Chong Thien Vun, di sini, yang berlaku tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun serta dua lelaki warga asing masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an dan 18 tahun.

Katanya, tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau kira-kira jam 12 tengah hari semalam di kawasan tepi premis carwash berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Chong Thien Vun.

“Kejadian dipercayai berlaku pada 6 November lalu kira-kira jam 5.30 petang apabila mangsa berusia 19 tahun menghantar kenderaannya untuk dicuci sebelum meminta kebenaran mencuci sendiri kenderaan berkenaan.

“Seorang pekerja carwash dipercayai bertindak menumbuk mangsa di bahagian badan sebelum dua lagi rakan sekerjanya turut menyerang, menyebabkan mangsa mengalami kesakitan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, semakan rekod mendapati suspek lelaki tempatan berusia 32 tahun mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau membabitkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang berkaitan kesihatan awam dan penyalahgunaan dadah.

“Bagaimanapun, dua lagi suspek warga asing didapati tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

“Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya menyelesaikan sebarang perselisihan secara berhemah serta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis bagi menjamin keselamatan awam di daerah ini,’ katanya. – Info X