Search

Enam rumah musnah terbakar di Kampung Ketiau

January 6, 2026

Info X Reporters

PUTATAN: Enam rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Ketiau, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.48 pagi sebelum jentera digerakkan dan tiba di lokasi empat minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan enam rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal yang masing-masing terbakar 100 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran air dengan bantuan jentera bomba serta sumber air terbuka, sebelum api berjaya dikawal pada jam 6.24 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran rumah di Kampung Ketiau, Putatan.

Menurutnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan tujuh buah rumah berhampiran daripada turut terbakar, selain sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Selepas keadaan disahkan selamat, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.59 pagi.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X