TENOM: Bantuan sewajarnya akan disalurkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir berikutan limpahan air Sungai Padas, di sini, sejak beberapa hari lalu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, berkata bantuan awal sudah disalurkan dan diteruskan lagi pada hari ini.
“Bantuan-bantuan awal telahpun diberikan oleh Jabatan Kebajikan Tenom, Pejabat Parlimen Tenom, Pejabat Daerah Tenom, Pusat Khidmat Rakyat DUN Melalap serta agensi-agensi kerajaan yang lain.
“Pengagihan bantuan bakul makanan dan air minuman kepada semua mangsa banjir akan diteruskan hari ini,” katanya, di sini.
Beliau menziarahi dan meninjau beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di daerah ini, malam tadi iaitu PPS Rumah Kebudayaan Kampung Ponontomon, PPS Rumah Kebudayaan Kampung Pantongan Saga dan PPS Rumah Kebudayaan Kampung Mandalom Lama.
Ketiga-tiga PPS mula dibuka pada jam 3 petang kelmarin oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Tenom yang dipengerusikan Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew bagi menempatkan mangsa banjir.
Tinjauan berkenaan disertai Pegawai Daerah Tenom, Ketua Daerah Tenom; Timbalan Ketua Polis Daerah Tenom, kakitangan Jabatan Kebajikan Tenom, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kakitangan Pusat Khidmat Rakyat DUN Melalap semasa lawatan tersebut.
“Saya amat bersimpati dengan semua mangsa banjir yang terlibat. Semoga sentiasa tabah menghadapi dugaan bencana banjir ini. Saya akan usahakan membantu sebaiknya,” kata Jamawi. – Info X