KOTA KINABALU: Seramai 1,399 mangsa banjir daripada 488 keluarga kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir di Beaufort, Tenom dan Kota Belud.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berikutan pertambahan mangsa di daerah Beaufort dan Tenom berbanding 435 mangsa daripada 154 keluarga pada malam tadi.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri setakat awal pagi ini, seramai 587 mangsa daripada 198 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan di Beaufort berikutan situasi banjir yang semakin buruk di daerah itu.

Dua pusat pemindahan terbabit ialah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon (359 mangsa) dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Residensi Prima Woodford Estate (228 mangsa).
Di Tenom, seramai 535 mangsa daripada 198 keluarga dipindahkan di empat PPS setakat jam 8 pagi ini, manakala sebuah lagi daerah mencatat pemindahan mangsa setakat ini ialah Kota Belud dengan seramai 277 mangsa daripada 94 keluarga di dua PPS setakat ini. – Info X