Search

Ikut rakan keluar daerah, kes remaja hilang di Sepanggar selesai tanpa unsur jenayah

January 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan kes seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan tidak pulang ke rumah di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar, sudah selesai sepenuhnya.

Siasatan mendapati remaja berkenaan mengikut rakan keluar ke luar daerah dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, laporan polis berhubung kejadian itu diterima kira-kira jam 9.02 malam pada 3 Januari.

Menurutnya, laporan dibuat selepas ibu mangsa memaklumkan anak perempuannya keluar rumah sekitar jam 5.30 petang untuk membeli barangan keperluan di sebuah kedai runcit berhampiran, namun tidak pulang sehingga lewat malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda.

“Sebaik laporan diterima, polis segera menjalankan siasatan termasuk mendapatkan maklumat daripada ahli keluarga terdekat serta usaha menghubungi remaja terbabit.

“Hasil siasatan mendapati remaja berkenaan mengikut rakannya keluar daerah dan tidak melibatkan kes culik atau sebarang salah laku jenayah lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, remaja terbabit selamat pulang ke rumah dan kejadian itu direkodkan di bawah satu laporan polis berasingan.

Terdahulu, pada 4 Januari, tular di media sosial rakaman suara seorang kanak-kanak yang meminta pertolongan, mendakwa berada dalam keadaan gelap serta tidak mengetahui lokasi keberadaannya.

Rakaman berkenaan mencetuskan kebimbangan orang ramai dan dikaitkan dengan kes kehilangan remaja terbabit.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Orang awam turut digalakkan menyalurkan maklumat yang tepat dan berfakta kepada pihak berkuasa sekiranya melibatkan isu keselamatan awam,” katanya. – Info X