BELURAN: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Telisai, Sapi Nangoh, di sini, hari ini.
Pasangan suami isteri itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Beluran menuju Telupid sebelum MPV mereka bertembung dengan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.
Akibat perlanggaran itu, pemandu Toyota Unser disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala isterinya mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Beluran untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, empat mangsa yang berada dalam pacuan empat roda membabitkan seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.57 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.56 petang selepas keadaan di lokasi disahkan selamat,” katanya. – Info X