Search

Jambatan Tamparuli ditutup sementara, JKR laksana pemeriksaan teknikal

January 7, 2026

Info X Reporters

TAMPARULI: Jambatan Tamparuli ditutup sementara kepada semua pengguna sebagai langkah keselamatan, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, penutupan itu terpaksa dilakukan bagi mengutamakan keselamatan pengguna jambatan berkenaan sementara pemeriksaan lanjut dijalankan.

Katanya, beliau telah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran bagi mendapatkan penjelasan terperinci serta meminta tindakan dan perancangan penyelesaian segera.

“JKR memaklumkan pemeriksaan teknikal akan dilaksanakan esok, termasuk penilaian sehingga ke dasar sungai, bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Beliau turut menggesa orang ramai agar bersabar dan bersama-sama mendoakan cuaca berada dalam keadaan baik bagi memastikan proses pemeriksaan dapat dijalankan dengan lancar.

Tambahnya, perkembangan terkini berhubung keadaan sebenar jambatan tersebut akan dimaklumkan kepada orang awam pada hari Khamis selepas penilaian dibuat oleh pihak JKR.

Dalam pada itu, Madius memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna, khususnya apabila penutupan ini berlaku menjelang hari Tamu Tamparuli yang dijangka menarik kehadiran ramai pengunjung. – Info X