KOTA KINABALU: Seramai 38 orang bebas berlesen (OBB) dari Jabatan Penjara Sabah dan Labuan diberikan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.
Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Kesumawati Ilas berkata, jumlah itu termasuklah 15 OBB dari Penjara Pusat Kota Kinabalu, seorang dari Penjara Wanita Kota Kinabalu, 10 Penjara Tawau, lima di Penjara Sandakan dan enam di Pusat Koreksional Labuan.
Katanya, pelepasan yang dilaksanakan secara serentak di seluruh institusi Penjara Malaysia sebelum Aidilfitri memberi peluang kepada penghuni penjara yang beragama Islam untuk merayakan Hari Raya bersama keluarga selain membolehkan penghuni lain-lain agama mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Pelbagai pendekatan yang dijalankan Jabatan Penjara Malaysia yang bertanggungjawab memperkasa program pemulihan dalam komuniti bagi melahirkan penghuni berdaya saing sekembalinya ke pangkuan masyarakat sama ada sebagai suami, isteri atau anak.
“Program ini juga sangat berkesan menerusi pencapaian kadar residivis atau pengulangan perlakuan jenayah dikalangan penghuni penjara pada tahap 18.6 peratus berbanding penghuni penjara yang menjalani hukuman sepenuhnya di dalam penjara iaitu hanya 0.24 peratus tahun lalu.
“Usaha ini juga dilihat mampu mengurangkan kesesakan dan mengurangkan kos pengurusan banduan berikutan Penjara Pusat Kota Kinabalu mencapai lebihan kapasiti sehingga 2576 penghuni berbanding jumlah kapasiti hanya 1329 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program PBSL di Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Menurutnya, PBSL dilaksanakan secara bersyarat membabitkan banduan yang menjalani hukuman bagi tempoh kurang setahun selain sudah menjalani sebahagian hukuman penjara atau sekurang-kurangnya mempunyai baki hukuman selama dua bulan.
Katanya, banduan yang dibenarkan menjalani PBSL juga membabitkan penghuni yang berjaya menjalani fasa pertama Program Pembangunan Insan di penjara selain mendapat pengesahan dan persetujuan keluarga, badan kebajikan serta majikan yang menyediakan tempat tinggal dan pekerjaan semasa banduan di luar penjara.
“Kita harapkan banduan yang diberikan pelaksanaan hukuman dalam komuniti ini mampu memanfaatkan sepenuhnya peluang ini.
“Masyarakat termasuk ahli keluarga juga diharap memberikan sokongan padu dan memberikan peluang kedua kepada banduan sama seperti pelaksanaan sistem Parol dan Perintah Kehadiran Wajib sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Penjara Sabah dan Labuan mencatatkan pelepasan seramai 415 banduan tahun ini masing-masing 139 pada Januari, 143 Februari dan 133 pada Mac.
Jumlah pelepasan juga mencecah 1436 orang dengan 31 banduan yang dilepaskan pada 2020 diikuti 125 pada 2021, 753 tahun lalu dan jangkaan 527 tahun ini. – Info X