Search

Syukur dapat sambut syawal di luar ‘tirai besi’ – banduan

April 19, 2023

admin

KOTA KINABALU: Tiada apa yang lebih membahagiakan pada Aidilfitri kali ini melainkan dapat menyambut Aidilftri bersama keluarga tercinta.

Itulah dirasakan seorang penghuni penjara yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 24, sebaik dibebaskan menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia.

Siti yang dipenjara kerana kesalahan penyalahgunaan dadah berkata, dia begitu merindui keluarganya terutama apabila menjelang Aidilfitri ini.

“Pengalaman tiga bulan berada di Jabatan Penjara Wanita Kota Kinabalu selepas ditahan Januari lalu mengubah diri saya seratus peratus lebih baik berbanding sebelum ini.

“Sepanjang berada di sini saya mempelajari pelbagai ilmu baharu termasuklah mendalami ilmu agama serta belajar berpuasa yang mana sepanjang hidup saya tidak pernah menunaikan kesemua kewajiban ini, saya bersyukur ini adalah hikmah terbesar dalam hidup saya.

“Apa yang lebih penting dorongan yang diberikan oleh pegawai serta kakitangan di Jabatan Penjara Malaysia mampu menjadikan saya tidak lagi terdetik untuk mengambil dadah.

“Tidak mampu untuk saya ungkapkan dengan kata-kata apabila mendapat tahu yang saya terpilih (dalam program PBSL), lebih-lebih lagi hari raya bakal menjelma,” katanya.

Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memohon kemaafan daripada adik-beradiknya terutama kakaknya sebaik keluar dari penjara berikutan ibu dan ayah sudah meninggal dunia.

“Saya sangat gembira sebaik diberitahu oleh pegawai penjara untuk dibebaskan lebih awal dan menjalani pelaksanaan hukuman di dalam komuniti berikutan tarikh sebenar pembebasan saya adalah 24 Julai depan.

“Terima kasih dengan peluang yang diberikan oleh Jabatan Penjara Malaysia kerana membolehkan saya menyambut Aidilfitri bersama adik beradik.

“Saya bertekad untuk menjadi insan yang lebih baik dan mendapatkan pekerjaan bukan hanya bagi mengurangkan beban keluarga tetapi membantu meningkatkan tahap ekonomi keluarga,” katanya.

Mengimbas kembali detik dia ditahan polis, Siti berkata ketika itu dia dan rakannya berada di restoran dan sedang memulakan kegiatan penagihan dadah.

“Ketika itu saya dan rakan berada di sebuah restoran dan baharu memulakan kegiatan menagih dadah bagaimanapun kami diserbu pihak polis secara tiba-tiba.

“Rakan saya segera memberi bekalan dadah itu kepada saya sebelum melarikan diri dan saya ditahan polis bersama bekalan dadah di tangan,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini kegiatan penagihan dadah sudah dilakukan selama lima tahun sejak berumur 21 tahun disebabkan pengaruh rakan.

“Kami membeli dadah dengan harga RM50 dan menjalankan kegiatan penagihan bersama. Sebaik ditahan saya menyedari kegiatan ini sangat tidak bermoral dan boleh merosakkan masa depan seseorang.

“Saya bertekad untuk tidak lagi berjumpa dengan rakan saya yang membawa saya menjadi alpa sehingga tahap paling rendah dalam hidup dan merosakkan diri sendiri.

“Walaupun ini penahanan pertama saya, pengajaran yang diperoleh membuka mata saya bahawa kegiatan penyalahgunaan dadah tidak wajar dilakukan terutama dalam kalangan remaja,” katanya.

Jabatan Penjara Sabah dan Labuan membebaskan seramai 38 Orang Bebas Berlesen (OBB) menerusi Program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini. – Info X