Search

799 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

April 19, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seramai 799 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 11, melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.

Semua PATI berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan pengangkutan laut.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua yang dipindahkan membabitkan seramai 687 lelaki, 72 wanita dan 40 kanak-kanak.

Tahanan Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar dihantar ke Pelabuhan Sandakan menaiki bas ekspres. – Foto JIM

“Jumlah pecahan mengikut usia bagi kanak-kanak dalam pengusiran kali ini adalah membabitkan lima kanak-kanak 23 bulan ke bawah manakala bagi dewasa dari 13 hingga 66 tahun.

“Kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa/penjaga masing-masing.

“Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sitti Saleha berkata, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

Pegawai penguat kuasa JIM Sabah menjalankan pemeriksaan ke atas tahanan yang dihantar pulang ke negara asal mereka. – Foto JIM

“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, Sitti Saleha berkata, setakat 18 April 2023 JIM Sabah sudah menghantar seramai 3,729 tahanan yang dipindahkan ke negara asal merangkumi 11 siri pemindahan melalui laut yang mana seramai 3,593 tahahan dipindahkan.

“Manakala seramai 136 tahanan dipindahkan melalui 16 siri pemindahan udara. Operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.

“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.

Tambah beliau lagi, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.

“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya. – Info X