Search

Sabah FC kenduri gol di Likas

April 19, 2023

admin

KOTA KINABALU: Sabah FC sekali lagi membuktikan betapa Stadium Likas merupakan kubu kuat mereka apabila pasukan itu membelasah Kelantan FC 6 – 1 dalam saingan Liga Super, malam ini.

Pasukan tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk menggegarkan jaring lawan apabila memperolehi dua gol dalam tempoh 10 minit menerusi Daniel Ting yang menghasilkan jaringan pada minit ketiga dan ke-10.

Kedudukan 2-0 itu kemudian kekal sehingga separuh masa pertama berakhir walaupun Sabah FC memiliki banyak peluang untuk menambah jaringan.

Bermula babak kedua, Kelantan FC berjaya merapatkan jaringan hasil gol Miguel Angel Garrido Cifuentes bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, kebangkitan pasukan pelawat itu hanya untuk seketika apabila Sabah FC berjaya menyumbat dua lagi gol menerusi Dominic Tan pada minit ke-47 dan  kapten pasukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-60 bagi menjadikan kedudukan 4-1.

Derita Kelantan FC kemudian bertambah apabila Stuart Wilkin menghadiahkan satu lagi gol kepada Sabah menerusi rembatan kencangnya dari hadapan kotak penalti lawan pada minit ke-74.

Telmo Castanheira selepas itu menyempurnakan malam gemilang Sabah FC apabila meledak gol keenam di masa kecederaan perlawanan dan kedudukan 6-1 itu kekal sehingga pengadil perlawanan membunyikan wisel penamat.

Kemenangan malam ini turut mengubah kedudukan Sabah FC dalam carta Liga Super ke tangga keempat dari tangga kelima sebelum ini. – Info X