Search

570 sisik penyu dirampas dalam serbuan Op Khazanah

November 16, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Aktiviti jual beli barangan hidupan liar dilindungi dibongkar dalam operasi bersepadu selepas pasukan Risik/Task Force Batalion 22 PGA Kunak bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menyerbu sebuah premis di bandar ini, semalam.

Serbuan bermula hasil risikan awal yang mengesyaki premis berkenaan dijadikan lokasi penyimpanan barangan terlarang, termasuk sisik dan cengkerang penyu.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Batalion 22 PGA, pasukan operasi tiba di lokasi sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan menjalankan pemeriksaan terhadap dua individu di dalam premis itu.

“Pemeriksaan lanjut menemui bahagian tersembunyi di premis tersebut yang digunakan sebagai tempat menyimpan barangan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu kotak berwarna coklat bertulis “Happy Boom Glow Of Sunset” berisi 570 keping sisik atau cengkerang penyu pelbagai saiz dengan anggaran berat 17.8 kilogram,” kata kenyataan itu.

Keping sisik atau cengkerang penyu pelbagai saiz dirampas menerusi Op Bersepadu Khazanah di Semporna.

Menurutnya, semua barangan berkenaan dipercayai diperoleh melalui aktiviti menangkap atau menyeludup penyu, spesies dilindungi yang menjadi sasaran sindiket sejak kebelakangan ini.

“Dua individu yang berada di premis turut ditahan bagi membantu siasatan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM14,240.

“Semua rampasan dan suspek kemudian diserahkan kepada JHL Sabah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, manakala salah seorang daripada mereka turut dikenakan tindakan imigresen mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Katanya lagi, operasi ini, yang merupakan sebahagian usaha berterusan PGA dan JHL, menegaskan komitmen agensi keselamatan membanteras penyeludupan hidupan liar yang semakin berleluasa di Sabah.

“PGA menerusi pasukan Risik/Task Force menegaskan pihaknya akan terus memperhebat rondaan, risikan dan tindakan bersepadu bagi memastikan premis tertentu tidak dijadikan pusat pengumpulan barangan terlarang dan biodiversiti negeri terus dilindungi,” katanya. – Info X