TAWAU: Kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis China terbongkar apabila polis menyerbu sebuah resort, di sini malam tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 9.20 malam itu, seramai 80 individu dipercayai terbabit berjaya ditahan dalam serbuan bersepadu yang dijalankan Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPK Sabah bersama BSJK Tawau, Sandakan dan Keningau.
Sumber berkata, majoriti tangkapan membabitkan warga asing dengan 78 daripadanya rakyat China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang dari Myanmar dan Laos, berusia antara 17 hingga 46 tahun.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan premis berkenaan sebagai pusat operasi bagi menjalankan penipuan secara dalam talian.
“Lokasi itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat panggilan, malah turut digunakan sebagai tempat latihan, kediaman serta lokasi rehat ahli sindiket,” katanya.
Menurutnya, sasaran utama kumpulan itu adalah warga Amerika Syarikat berketurunan Cina, dengan taktik menyamar sebagai pegawai polis dari China bagi memperdaya mangsa.
Dalam serbuan sama, pihak berkuasa turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah termasuk telefon bimbit, komputer, skrip penipuan, pasport, modem, sepanduk serta pakaian seragam polis China.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek serta rangkaian sindiket terbabit.
Sementara itu, seramai 77 suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau, pagi ini bagi permohonan reman.
Permohonan reman selama tiga hari yang dikemukakan pegawai penyiasat BSJK IPD Tawau, Inspektor Siti Dayana Adillah, diluluskan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Tiga lagi suspek yang sedang menerima rawatan di hospital turut dibenarkan direman selama tempoh sama.
Bagaimanapun, enam individu termasuk seorang warga Laos dibebaskan, namun masih diperlukan bagi membantu siasatan lanjut. – Info X