KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) akan dikaji semula untuk dikecilkan lagi kawasan berkenaan bagi perairan di daerah tertentu sahaja.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, perkara untuk kajian semula pelaksanaan perintah berkurung dibincangkan dalam satu mesyuarat operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Tawau semalam.
“Perkara ini telah dibincangkan dan bagi tujuan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ESSCOM akan mencadangkan perintah berkurung itu diperkecilkan dan akan digantikan nama sebagai Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE untuk kawasan perairan di daerah tertentu.
“Untuk tujuan itu, bagi buat permulaan, kita akan cadangkan bagi perairan Tawau, kita keluarkan daripada perintah berkurung di ESSZONE kerana kita yakin kawalan keselamatan di perairan daerah itu memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Perumahan Balai Polis Inanam yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi, di sini, hari ini.
Acryl Sani berkata, walaupun kes-kes membabitkan Kidnapping For Ransom di kawasan pantai timur Sabah tidak lagi berlaku namun pelaksanaan perintah berkurung masih tetap diperlukan.
“Saya percaya ia tidak berlaku (Kidnapping For Ransom) disebabkan tindakan kita memperketatkan kawalan keselamatan dan kewaspadaan. Itulah salah satu faktor utama sejak tiga tahun lalu, tidak ada kejadian membabitkan Kidnapping For Ransom.
“Tetapi PDRM tidak boleh pada bila-bila masa mengurangkan tahap kewaspadaan keselamatan, malah dari semasa ke semasa kita akan membuat kajian dan penilaian kawasan-kawasan yang perlu dilihat semula bentuk kaedah kawasan yang perlu kita sentiasa sediakan,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini terdapat dua kawasan dikeluarkan daripada perintah berkurung iaitu Kudat dan Kota Marudu.
“Dua daerah itu telah dikecualikan dan sekarang ini kita membuat cadangan untuk mengecualikan perairan Tawau juga.
“Tetapi kawasan yang mana kita yakin masih lagi dikategorikan sebagai hotspot, kita akan kekalkan dulu dan menilai tahap risiko keselamatan dari semasa ke semasa.
“Sekarang ini, yang kita kenal pasti hotspot di kawasan perairan Sandakan, Lahad Datu dan Semporna. Ini masih lagi kita kategorikan berisiko tinggi lagi kerana bentuk geografinya yang agak dekat dengan perairan negara jiran,” katanya.
Perintah berkurung meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
Orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi. – Info X