Search

Penunggang motosikal maut dilanggar lari

May 16, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya maut dilanggar sebuah lori di Jalan Lintas – Iramanis, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa Mohd Zainuddin Mohd Hazwan Taya, 26 yang beralamat di Kampung Warisan, Inanam meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal jenis Suzuki GSX-R150 ditunggangi mangsa seorang diri dari arah Kepayan menuju ke rumahnya melalui Jalan Lintas.

Katanya, sebaik tiba di Jalan Lintas – Iramanis berdekatan sebuah stesen minyak, motosikal ditunggang mangsa dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan tidak diketahui jenis dan nombor pendaftarannya kerana melarikan diri dari lokasi kemalangan.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan terseret sejauh tiga meter bersama motosikalnya berdasarkan kesan geseran di lokasi.

“Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dalam masa yang sama, serpihan nombor pendaftaran kenderaan yang melanggar terjatuh di lokasi kemalangan dan berjaya dikumpul semula membentuk nombor pendaftaran tidak lengkap.

“Hasil siasatan polis berjaya mengesan kenderaan yang melanggar iaitu sebuah lori dan siasatan masih diteruskan.

“Kes disiasat mengikuti Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X