Search

Isu Kalimah Allah : Cari pendamaian nasional, bukan ‘menangguk di air keruh’ – Madius

May 17, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyeru semua pemimpin dan parti politik serta pertubuhan masyarakat Madani supaya mencari pendamaian nasional dalam kontroversi penggunaan Kalimah Allah dan bukannya ‘menangguk di air keruh’.

Katanya, semua pihak perlu menerima fakta bahawa penganut Kristian Borneo yang berbahasa Melayu memang mengunakan kalimah Allah dan bukannya untuk memurtadkan umat Islam.

“Penggunaan kalimah Allah oleh umat Kristian sememangnya bukan untuk memurtadkan umat Islam dan oleh itu tidak pernah digusari umat Islam di Wilayah Borneo.

“Penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian di Borneo menjadi ternampak sejak 1980an kerana kejayaan Dasar Bahasa Kebangsaan dan juga penghijrahan rakyat Borneo ke Semenanjung kerana kekurangan peluang pekerja dan pendidikan.

“Kami berharap keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menarik balik rayuan ini boleh diterima oleh semua pihak dengan dada yang lapang,” katanya lagi dalam kenyataan, hari ini.

Pada Isnin, kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran. – Info X