Search

Polis tahan 3 lelaki terbabit kes rompakan bersenjata di Tawau

May 18, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan tiga lelaki selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan menggunakan senjata di kawasan parkir di Bandar Sri Indah (BSI), di sini, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia 38 hingga 42 tahun itu ditahan sepasukan polis termasuk pegawai BSI, kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima berkait kes rompakan yang berlaku di daerah ini.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta milik suspek dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah samun.

“Hasil siasatan awal, ketiga-tiga suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah termasuk dadah.

“Ujian saringan air kencing semua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelasnya, polis sudah mendapatkan perintah reman ke atas semua suspek terbabit selama tujuh hari bermula esok hingga 25 Mei depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X