Search

Polis tahan 2 lelaki, rampas syabu RM130,000

May 19, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah hotel di daerah ini, Ahad lalu.

Serbuan jam 11.40 pagi oleh pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna turut merampas dadah disyaki syabu seberat 1,745.37 gram bernilai RM130,000.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua berusia 29 dan 31 tahun itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan daerah ini.

Katanya, selepas pemeriksaan dilakukan terhadap dua suspek itu, salah seorang suspek memandu arah dan menunjukkan satu beg galas warna hitam di atas katil.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam beg itu menemui beberapa peket lutsinar berbagai saiz berisi bahan hablur jernih disyaki dadah syabu dengan berat 1,745.37 gram bernilai RM130,000.

“Pemeriksaan juga mendapati salah seorang suspek terbabit adalah warga asing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Farhan Lee berkata, kedua-dua suspen direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Sementara itu, beliau berkata orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah diminta untuk menyalurkan maklumat di talian 089-782020 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Adzilee Suili di talian 014-8665087.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan ini yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat dan merupakan musuh utama serta merugikan negara,” katanya. – Info X